Pages

Saturday, August 8, 2015

Contoh Karangan: Cara Memupuk Semangat Perpaduan Dalam Masyarakat




Ini jawapan saya (yang telah diubah usai untuk dimuatkan dalam blog ini) untuk Kertas 1 Bahasa Melayu Bahagian B bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2014 dan markahnya ialah 95/100. 

--
Peristiwa 13 Mei 1969 telah melakar sejarah hitam kepada kuasa politik negara. Sejak itu, pemerintah negara cuba sedaya upaya bagi mewujudkan kembali persefahaman antara kaum yang pelbagai di negara Malaysia. Kemakmuran dan semangat patriotisme sangat penting dalam kalangan masyarakat. Patriotisme dapatlah ditakrifkan sebagai semangat cinta akan tanah air. Kecintaan kepada negara sangatlah diperlukan bagi melahirkan negara maju seterusnya merealisasikan iltizam Wawasan 2020. Persefahaman ekonomi mampu membentuk percaturan ekonomi yang kondusif dan mewujudkan hubungan sosial yang erat. Implikasi daripada perpaduan bangsa inilah lahirnya kepelbagaian budaya dan adat resam di negara kita. Meskipun Malaysia sedang memacu ke arah sebuah negara yang maju namun tidaklah seharusnya aspek sosial terutamanya semangat cinta terhadap ibu pertiwi dikesisikan. Janganlah menjadi negara maju namun masih jua mengikut telunjuk orang lain. Maka sudah terang lagi bersuluh, semangat patriotisme begitu perlu demi membina sebuah negara yang berwawasan.

Hakikatnya, terdapat pelbagai cara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.  Menyoroti perkara ini, kerajaan antaranya telah mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Perpaduan bagi menjalankan gerak kerja ke arah penyatuan kaun di ibu pertiwi. Penubuhan ini sangat berpatutan dan wajar bagi mengelakkan pertengkaran atau perbezaan pendapat daripada berlaku di samping membentuk integrasi kaum. Sekiranya pertengkaran kaum berlaku, ini meningkatkan kadar jenayah seterusnya memburukkan nama negara di persada sarwajagat. Jabatan Perpaduan berperanan dalam melakukan aktiviti yang meningkatkan semangat patriotisme seperti Karnival Budaya dan sebagainya. Penganjuran karnival itu mengumpul kesemua budaya dan adat turun-temurun yang terdapat di Malaysia. Izharnya, kepelbagaian kaum telah menghasilkan kelainan kepada Malaysia kerana adanya percampuran budaya dan adat. Keunikan dan keistimewaan inilah wajar dibanggakan oleh setiap lapisan masyarakat, yang lahir daripada kemerdekaan yang dikecapi. Ini sekali gus merealisasikan visi kudsi bagi mewujudkan semangat patriotisme dengan menghargai warisan budaya Malaysia yang majmuk.

Walau bagaimanapun, peranan bagi membentuk semangat patriotisme tidaklah terletak kepada kerajaan semata-mata. Ibu bapa memainkan obligasi penting dengan mengajar anak-anak menghargai keamanan negara dan bersikap patriotik. Ibu bapa haruslah menjadi katalis keamanan dengan mengawal bahan bacaan anak-ana. Memandangkan begitu banyak pengaruh melalui media massa, ibu bapa mestilah menyekat saluran yang tidak senonoh dan tidak berfaedah. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak umpama kain putih dan ibu bapalah pencorak akhlak mereka. Tuntasnya, ceritakanlah tentang kepentingan semangat patriotisme kepada mereka atau belikan buku untuk dibaca supaya semangat patriotisme terpupuk dalam diri mereka. Janganlah menunggu sehingga “nasi menjadi bubur”.

Seterusnya, pembelajaran dan pengajaran di alma mater juga perlulah menerapkan unsur semangat cinta akan negara. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral sebagai tamsilan haruslah ditekankan untuk mewujudkan semangat patriotisme. Hal ini sangat penting bagi merealisasikan “bersatu teguh bercerai roboh”. Di samping menerapkan nilai-nilai murni yang wajar dimiliki oleh seseorang yang berperibadi mulia, semangat patriotisme juga dapat dibentuk kerana adanya sifat bantu-membantu dan sikap mementingkan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Kesannya seseorang itu tidak menjadi lupa daratan dan memandang rendah terhadap tanah tumpah darahnya. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh dan menabur bakti bagi membalas jasa dan nikmat kemerdekaan yang dirasai bersama-sama.

Negara Malaysia memiliki sejarah siri penjajahan yang panjang dan pernah dimasuki kuasa-kuasa agung barat seperti British, Portugis dan Belanda. Hal ini menggambarkan keperluan memiliki semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat bagi mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi. Rentetan senario itu, pejuang-pejuang negara terdahulu telah berhempas pulas mempertahankan kemerdekaan negara. Darsawarsa ini, semangat patriotisme semakin luntur dalam kalangan remaja. Oleh itu, para remaja mestilah mencari kawan yang bersikap positif dan tidak berkelakuan nakal. Dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Seseorang itu berdasarkan adat kebiasaan rakannya. Oleh itu, lihatlah dengan siapa kamu berkawan.” Hal ini menjelaskan bahawa jika seseorang itu mempunyai rakan yang baik, maka baiklah akhlak dan begitu juga sebaliknya. Bergaul dengan rakan-rakan yang berkeperibadian yang muluk dapat mengoptimumkan ciri-ciri remaja mulia dan semangat patriotisme secara tidak langsung wujud. Jika tidak, remaja akan melakukan vandalisme dan terlibat dalam gejala kurang sihat. Ini menunjukkan semangat patriotisme yang pincang. Intihanya, remaja sewajarnya pandai memilih kawan bagi mewujudkan semangat patriotisme dalam diri mereka.

Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Media massa merupakan teman karib remaja. Oleh itu, pihak penyiaran televisyen mahupun radio berperanan utama dalam usaha menerapkan semangat cinta akan negara. Pihak berwajib haruslah menyiarkan filem atau rancangan yang menjadi wahana menaikkan semangat patriotisme seperti Tanda Putera. Pihak penyiaran radio boleh menyiarkan lagu-lagu berunsurkan patriotisme seperti lagu Warisan, Keranamu Malaysia dan 31 Ogos. Hal ini adalah kerana sekalipun “hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri”, seseorang warganegara tidak selayaknya melupakan tanah kelahirannya. Media massa perlu bersikap amanah dan melakukan tanggungjawab dengan baik bagi menjayakan harapan mewujudkan semangat patriotisme.

Deduksinya, masing-masing perlulah cakna dengan melaksanakan tanggungjawab dan berkongkalikung dengan sehabis baik bagi menuju ke arah rakyat yang berpatriotik. Jangan menjadi seperti pahat dan penukul, dan cuma menunggu arahan, baru melancarkan tindaran. Seterusnya, janganlah usaha-usaha yang dijalankan sekadar “melepaskan batuk di tangga” dan tidak konsisten. Bersama-samalah menjadi anak watan yang bersemangat patriotisme dan tidak menjadi umpama “kacang lupakan kulit”.

 --
Komen guru: Karangan yang baik isi+huraian+contoh yang menarik. Tahniah!

5 comments:

  1. apa maksud katalis keamanan dan alma mater? Saya cari di kamus dewan bahasa tapi takde

    ReplyDelete